Thursday, October 9, 2014

PENANDA WACANA DAN KESINAMBUNGAN IDEA DALAM WACANA

menyambung huruf arab
Penanda Wacana
             Penanda wacana terdiri daripada unsur-unsur  bahasa, khususnya aspek leksikal dan ketatabahasaan dan tugasnya  mewujudkan kesinambungan  atau  tautan antara bahagian dalam sesebuah wacana. Dengan kata lain, penanda wacana berfungsi untuk mewujudkan kohesi supaya  wacana itu benar-benar utuh. Mengikut Halliday (1975), penanda  wacana yang dapat mempertautkan unit-unit wacana itu ada empat, iaitu penanda penghubung (conjunction),penanda rujukan, penanda leksikal,dan penanda penghilangan atau pengguguran.

Penanda penghubung
Penanda penghubung dapat dibahagikan kepada lima, iaitu penanda penghubung tambahan, penanda penghubung pertentangan, penanda penghubung musabab,penanda penghubung tempoh dan penanda penghubung kesimpulan.

Penanda penghubung pada umumnya berfungsi memberikan maklumat lanjut tentang perkara yang dinyatakan dalam bahagian ayat atau  ayat  yang sebelumnya dalam sesebuah wacana itu.

Dalam hal ini, walapun pada umumnya dikatakan bahawa wacana ialah  unit penggunaan bahasa yang melebihi batas ayat,  ada ahli bahasa dalam bidang  ini mengatakan bahawa untuk meneliti keutuhan wacana, perlu juga dikaji unsur-unsur yang menghubungkan bahagian-bahagian dalam ayat. Dalam hal ini, bahagian ayat yang dimaksudkan ialah klausa. Dengan kata lain, ayat yang dimaksudkan itu ialah ayat yang mempunyai beberapa klausa yang dihubungkan dengan menggunakan kata hubung. Ini bersesuaian dengan pendapat Richards & Richards (2013: 91), yang mengatakan bahawa ciri kohesi memperlihatkan  “…the grammatical/or lexical relationships between the different elements of a text. This may be the relationship between different sentences or different part of sentence.” Oleh itu, bagi mereka kata hubung seperti kerana, lalu, dan, setelah, ketika, dan lain-lain juga termasuk dalam kategori penanda wacana penghubung kerana kata hubung itu mempertaut bahagian ayat, iaitu klausa-klausa dalam ayat.

Berhubung dengan hal ini,Harimurti Kridalaksana (1978), menganggap wacana sebagai satuan yang lengkap, yang tidak terbatas pada ayat semata-mata,sebaliknya meliputi satuan yang lebih besar, seperti dialog, perenggan, bab, dan sebagainya. Bagi beliau, keutuhan wacana boleh diteliti dari aspek kegramatisan ayat dan hubungan antara ayat. Dalam hal ini, penggunaan kata penghubung adalah amat penting. Menurut beliau lagi, kata penghubung dapat dilihat pada dua peringkat, iaitu penghubung antara bahagian dalam ayat, seperti dan, kerana, atau,  dan lain-lain. Satu lagi ialah penghubung antara ayat, misalnya oleh itu, maka, sekiranya, sungguhpun demikian, tambahan pula, oleh yang demikian, dan sebagainya. Tugas kata-kata tersebut bukan sahaja mempertaut bahagian-bahagian ayat secara gramatikal tetapi juga mewujudkan kesinambungan idea antara bahagian-bahagian wacana.

Seperti telah dinyatakan, yang termasuk dalam jenis penanda wacana penghubung, pertama ialah penanda wacana penghubung tambahan. Penanda wacana ini  merupakan penanda wacana yang berfungsi memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu bahagian ayat ataupun ayat yang hadir sebelumnya. Antara contohnya ialah dan, atau, kerana, tambahan pula, selain itu, oleh itu, oleh hal yang deminian, dan sebagainya.  Contoh penggunaanya:

(a)   Haji Anwar   pemurahdan berbudi pekerti mulia. Selain itu, dia seorang hartawan.

(b)  (penanda wacana penghubung tambahan yang digunakan ialah dan dan selain itu.)

(c)   Dia suka membaca  ketika orang lain tidur. Di samping itu, dia juga suka bersolat pada waktu seperti itu. (Penanda wacana penghubung tambahan yang digunakan ialah ketika dan di samping).

Kedua, penanda penghubung tentangan iaitu penanda penghubung yang digunakan untuk menunjukkan pertentangan maklumat antara ayat yang sebelumnya dengan yang berikutnya, contohnya tetapi, namun begitu, walaupun, walau bagaimanapun, namun begitu,walaupun demikian,  dan sebaliknya. Contohnya :

(a)   Dia selalu kekurangan wang. Walau bagaimanapun, apabila dia ada wang dia akan tetap bersedekah.

(b)  Orang itu amat kaya. Namun begitu, dia agak kedekut.

Ketiga, penanda penghubung musabab, iaitu penanda penghubung yang digunakan untuk menunjukkan musabab atau kesan berlakunya sesuatu yang dinyatakan dalam ayat yang sebelumnya, contohnya kerana, oleh itu, maka, oleh sebab itu, dan oleh yang demikian.

Contohnya :

(a)   Keranaamat ketakutan, dia lari lintang-pukang.

(b)  Kini, kerap berlaku penggodaman wang di bank-bank tempatan . Oleh itu, pihak bankperlu sentiasa berwaspada.

Keempat, penanda penghubung tempoh yang menunjukkan urutan masa atau peristiwa berlakunya sesuatu, contohnya, kemudian, lepas itu, sebelumnya, pertama, dan akhirnya. Contohnya :

(a)   Ahmad  turun dari keretanya. Dia membuka bonet, melihat-lihat  enjin keretanya.Selepas itu, dia menutup bonet keretanya itu semula..

(b)   Beberapa langkah perlu diambil. Mula-mula menyiasat puncanya, kemudian menentukan cara penyelesaiannya Akhir sekali melaksanakannya dengan tegas.

Kelima ialah penanda wacana penghubung kesimpulan. Penanda wacana ini digunakan untuk menyimpulkan atau merumuskan idea yang telah disampaikan. Antara contohnya ialah tegasnya, kesimpulannya, sebagai rumusan, pendek kata, akhirnya, dan jelaslah .

            Contohnya

(i)              Banyak langkah yang perlu kita laksanakan untuk mengatasi masalahnya itu. Antaranya adalah dengan mengenal pasti perkara sebenar yang dihadapinya, latar belakang keluarganya, dan….. Tegasnya, beberapa perkara perlu kita pertimbangkan sebelum  kita membuat keputusan untuk membantunya.

(ii)            Pengiklan menggunakan pelbagai cara untuk melakukan tipu muslihat terhadap pengguna dari segi penjualan barangan. Sebagai contoh, mereka tidak memberikan maklumat sebenar tentang produk, tidak mencatat tempoh luput dengan jelas, dan hanya mendedahkan kebaikan produk tersebut tanpa menyentuh soala kesan negatifnya. Pendek kata, apa-apa sahaja  akan lakukan oleh mereka untuk memikat hati pembeli.

Penanda wacana rujukan pula digunakan untuk merujuk sesuatu perkataan atau frasa yang telah disebutkan sebelumnya dan kata itu terdiri daripada kata ganti nama diri, seperti dia, mereka, -nya, kata ganti nama tunjuk itu, ini, kata ganti nama umum iaitu, yakni dan kata ganti nama tunjuk tempat ke sana, dan  di situ. Contohnya :

(a)   Yang datang itu adik saya.  Dia pelajar tahun kedua UKM.

(Kata ganti nama diri)

(b)  Kakak menyimpan wang di Bank Rakyat. Bank itu bank tempatan.

(Kata ganti nama tunjuk)

Seterusnya ialah penanda wacana leksikal. Penanda wacana ini melibatkan pengulangan perkataan atau frasa, iaitu perkataan atau frasa yang sama, perkataan lain tetapi sama maknanya (sinonim), perkataan yang mempunyai hubungan “hiponim”, dan juga  perkataan atau frasa yang mempunyai hubungan “kolokasi”.

Contohnya : 

Dalam hal ini jika ibu bersetuju. Kami turut bersetuju.

(pengulangan kata yang sama)

Kami berkilah di pantai itu dengan keluarga kami. Mereka juga berkilah di pantai itu dengan keluarga mereka. (pengulangan frasa yang sama).

Dia nampak begitu bersemangat untuk menjawab soalan. Sebenarnya dia

begitu teruja untuk menjawab soalan itu. (pengulangan kata bersinonim).

Gadis itu ayu sekali. Dia secantik ibu kandungnya. (pengulangan

kata bersinonim)

Sawi, kangkung, bayam, lobak dan kobis, semuanya ada di ladangnya itu. Sayur-sayuran  itu dijualnya di pasar berhampiran. (pengulangan hiponim)

Dia menjual almari, meja, katil, tilam, dan kabinet. Perabot jualannya itu berpatutan harganya.(pengulangan hiponim)

Walaupun laut bergelora dengan ombakyang menggunung tingginya, nelayan tetap ke laut untuk mencari rezeki (pengulangan kolokasi, iaitu nelayan dan ombak yang menggunungberkolokasi dengan laut).

Dalam kejohanan badminton itu, pemain lawan menunjukkan kehandalannya. Dia menangkis bola dengan smasy yang tajam. (pengulangan kolokasi)

Penanda elipsis atau penanda pengguguran pula melibatkan pengguguran sesuatu kata atau frasa yang telah disebut sebelumnya.Contohnya:

(a)   Mereka menaiki bas kilang untuk bekerja setiap hari. Kami juga.

                (Yang digugurkan ialah bahagian predikat, iaitu menaiki bas kilang

                   untuk bekerja setiap hari)

                  Abang suka makan sate ayam dan sate daging. Kami tidak.

(Yang digugurkan ialah predikat suka makan sate ayam dan sate daging)

Kesinambungan idea dalam wacana

Menurut Amah Hj Omar !1980), wacana  mempunyai ciri “unsur susun atur” dengan pengertian bahawa unsur-unsurnya  boleh disusun atur berdasarkan waktu, tempat, keutamaan, sebab, akibat, dan sebagainya. Maksudnya ayat-ayat itu mestilah mempunyai urutan yang taut-menaut dari segi idea untuk mewujudkan koheren yang utuh. Contohnya:

Ia rajin makan ubat. Penyakitnya cepat sembuh.

Ayat-ayat di atas memperlihatkan "hubungan sebab dan akibat"dan boleh dianggap sebagai sebuah wacana yang utuh.
Kesinambungan idea antara bahagian wacana dari aspek semantik dapat diperincikan berdasarkan jenis hubungannya.  Antaranya:

(a)   Hubungan sebab dan akibat. Contohnya :

(i)              Dia menyiapkan kerjanya itu sehari suntuk. Dia terlalu penat

lalu tertidur di ruang tamu rumahnya.

                                 (ii) Azami sering tidak datang bekerja.
Dia diberikan amaran oleh ketua jabatannya.

(b)  Hubungan sebab dan hasil. Contohnya:

(i)    Dia merupakan seorang yang peramah dan suka berkawan. Dia disenangi dan mempunyai ramai rakan.

(ii) Dia rajin bertanya tentang bahasa.
Ilmunya tentang soal bahasa amat banyak.

(c)   Hubungan sebab dan tujuan. Contohnya :

(i)              Pelajar itu sudah mula menabung. Dia tidak mahu meminjam wang apabila melanjutkan pengajiannya nanti.

(ii)       Karim ke Mekah. Dia mahu menunaikan ibadah umrah.

(d)  Hubungan latar dan kesimpulanContohnya:

(i)              Puisi ini bahasanya sungguh indah.
             Rupa-rupanya karya Usman Awang.

(ii)       Rumah di atas bukit itu cukup cantik.
       Apa tidaknya, rumah seorang arkitek ternama.
(e)   Hubungan syarat dan hasil. Contohnya:

(i)              Kita mesti membantunya dengan ikhlas.
Keikhlasan kita besar baraqahnya di sisi Allah.
(ii) Kita perlu bersenam untuk menyegarkan tubuh badan.

         Aktiviti itu dapat  mengekalkan kesihatan kita.

(f)   Hubungan perbandingan. Contohnya:

(i)              Dia cantik. Kakaknya lagi cantik.

(ii) Dia baik sekali. Rakan karibnya itu tidak sebaik dia.

(g)  Hubungan memperkuat isi. Contohnya:

(i)           Sungguh kejam penjenayah itu.

Sudahlah dibunuhnya wanita itu, dipotong-potongnya,

kemudian dibakarnya pula.

(ii)  Jambangan bunga itu cantik sekali.
Bunganya berwarna-warni dan dedaunnya segar.
(h)  Hubungan aditif. Contohnya:

i)                Pekerjaannya memerlukan kekuatan fizikal. Dia perlu mengangkut

pasir dan batu bata sepanjang hari.

(ii)  Kakinya sakit tertusuk paku. Paku itu kecil tetapiberkarat.

 
Rujukan

Asmah Hj Omar, “Analisis Wacana”, Dewan Bahasa, Mac dan April, 1980, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 1980.

Halliday, Michael A.K. Learning how to mean: exploration in the development of language, London, 1975.

Harimurti Kridalaksana, “Keutuhan Wacana”, Dewan Bahasa Julai, 1978, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 1978.

J. C. Richards & Richard Schmidt, Dictionary of Language Teaching dan Applied Linguistics, Fourth Ed., Pearson Education Ltd, Great Britain, 2013.

 

OLEH:

RAMINAH HAJI SABRAN / DU / OKTOBER 2014©

 

 

 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...