Friday, January 4, 2013

BM SEMESTER II: CONTOH FORMAT ESEI LAPORAN

 
Contoh soalan:

Sebagai setiausaha sebuah pertubuhan bukan kerajaan, anda diminta untuk
menjalankan satu kajian tentang perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.
Berdasarkan hasil kajian anda itu, sediakan satu laporan tentang kelemahan
perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini dan kemukakan cadangan 
anda untuk mengatasinya. Sediakan laporan itu selengkapnya.

Contoh esei:


               Laporan tentang Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam dan
                                      Cadangan untuk Mengatasinya


1.0   Pendahuluan

       Pengangkutan awam penting dalam kehidupan manusia. Perkhidmatan
       pengangkutan awam yang baik membolehkan pengguna bergerak dari
       satu tempat ke satu tempat lain dengan mudah dan selesa. Di negara ini,
       terdapat beberapa jenis pengangkutan  awam. Antara perkhidmatan
       pengangkutan awam yang popular ialah perkhidmatan bas dan teksi.
       Sehingga kini perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia dikatakan
       masih belum memuaskan hati pengguna. Baru-baru ini, saya sebagai
       Setiausaha Persatuan Keselamatan Sosial Daerah Pekan diminta untuk
       menjalankan satu kajian tentang kelemahan tersebut dan seterusnya
       mengemukakan cadangan untuk mengatasinya. Yang berikut ialah
       laporan hasil kajian tersebut.

2.0  Senarai Ahli Jawatankuasa

      Pengerusi: Ahmad bin Ali
      Setiausaha: Muhammad bin Daimin
      Bendahari: Simon Tan
      Ahli jawatankuasa:
     1) Saleha binti Abu
     2) Razali bin Darus

3.0 Kelemahan Perkhidmatan Pengangkutan Awam

      3.1 Jumlah Kenderaan Awam Tidak Mencukupi
            Berdasarkan kajian, didapati bahawa jumlah kenderaan awam di beberapa buah
            bandar di negara ini tidak mencukupi. Di beberapa buah bandar kecil, hanya
            terdapat satu atau dua buah syarikat bas yang beroperasi. Jangka masa
            pergerakan antara sebuah bas dengan bas yang lain agak panjang disebabkan
            masalah kekurangan bas. Keadaan ini menyebabkan pengguna sering
            berebut-rebut untuk menaiki bas agar mereka tidak ketinggalan.Sesetengah
            penumpang teksi pula sanggup menaiki teksi melebihi muatan yang dibenarkan
            agar mereka cepat sampai ke destinasi. Selain tidak selesa, tindakan ini boleh
            membahayakan penumpang.

      3.2 Keadaan Fizikal Kenderaan Awam Tidak Sempurna
            Keadaan fizikal sesetengah kenderaan awam, khususnya bas dan teksi didapati
            kurang sempurna. Sesetengah kenderaan tersebut tidak terurus dan tidak
            diselenggara dengan baik. Kusyen beberapa buah bas pula didapati carik
            dan sesetengahnya tertulis dengan pelbagai tulisan yang berunsur lucah.
            Kebersihan kebanyakan kenderaan tidak dijaga dengan baik. Sistem pendingin
            hawa yang digunakan pula kadangkala tidak berfungsi. Keadaan ini menyebabkan
            pengguna berasa tidak selesa menggunakan pengangkutan awam.

      3.3 Kadar Tambang Tidak Sepadan dengan Kualiti Perkhidmatan
            Kajian juga mendapati bahawa kebanyakan pengguna perkhidmatan awam
            yang ditemui menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tentang kadar tambang
            yang dikenakan. Kebanyakan pengguna bersetuju bahawa kadar tambang tidak
            sepadan dengan kualiti perkhidmatan. Menurut pengguna, sesetengah pemandu
            teksi tidak menggunakan meter yang dipasang dengan alasan alat tersebut rosak.
            Segelintir kakitangan bas pula didapati  kurang sopan apabila berurusan dengan
            penumpang. Walaupun perkara ini tidak disenangi, namun pengguna terpaksa
            menggunakan perkhidmatan awam kerana tiada pilihan lain.

4.0 Cadangan untuk Mengatasinya
      4.1 Memperketat Penguatkuasaan Undang-undang tentang Usia 
            Kenderaan Awam
            Jabatan Pengangkutan Jalan hendaklah memperketat penguatkuasaan
            undang-undang tentang usia kenderaan awam di jalan raya. Kenderaan
            yang terlalu lama misalnya, yang melebihi usia 20 tahun haruslah ditamatkan
            permitnya. Pengusahanya boleh diberikan bantuan kewangan untuk
            menggantikannya dengan kenderaan yang baharu. Bantuan yang sama
            hendaklah diberikan kepada pemilik kenderaan awam yang kenderaan
            awamnya didapati kurang elok. Selain menjaga keselamatan pengguna,
            langkah ini penting untuk memberikan keselesaan kepada pengguna
            perkhidmatan tersebut.

     4.2 Menambahkan Pengeluaran Permit Kenderaan Awam

           Bagi mengatasi masalah kekurangan kenderaan awam, pihak kerajaan
           seharusnya  menambahkan pengeluaran permit kenderaan awam
           di negara ini. Hal ini bertujuan untuk membolehkan lebih banyak
           kenderaan awam beroperasi. Langkah ini penting untuk mengelakkan
          orang ramai berebut-rebut untuk menaiki kenderaan, terutamanya
           ketika menjelang musim perayaan. Pertambahan pemilik kenderaan
           awam juga penting untuk mewujudkan persaingan yang sihat dalam
           kalangan pengusaha. Impaknya, pengguna dapat membuat pilihan dan
           masalah kekurangan kenderaan dapat dikurangkan.

5.0 Penutup

      Kajian ini telah mengenal pasti beberapa kelemahan perkhidmatan pengangkutan
      awam di negara ini. Selain kekurangan jumlah kenderaan awam, sikap pengusaha
      yang terlalu  mementingkan keuntungan memungkinkan kenderaan awam tidak
      terjaga. Kelemahan tersebut dapat diatasi sekiranya pengusaha kenderaan awam
      memahami bahawa mereka sebenarnya turut melaksanakan tanggungjawab sosial.
      Sekiranya syarikat kenderaan awam di negara ini  dapat menyediakan perkhidmatan
      yang lebih berkualiti, orang ramai juga akan berasa selesa menggunakan
      perkhidmatan awam yang disediakan.






Laporan disediakan oleh,                                                                             10 Mac 2013
       

            Muhammad
(MUHAMMAD BIN DAIMIN)
Setiausaha Persatuan Keselamatan Sosial
Daerah Pekan

Sumber: Majlis Peperiksaan Malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...