Friday, March 25, 2011

CONTOH JAWAPAN ALIH BAHASA

Teks asal:


Cikgu Wan melangkah masuk ke dewan dengan senyuman.
“ Siapa di sini telefon bimbitnya paling canggih”? Tanya Cikgu Wan.
Kami saling berpandangan. Pelik dengan soalan Cikgu Wan.

Cadangan jawapan:

Cikgu Wan melangkah masuk ke dewan dengan senyuman. Cikgu Wan ingin tahu sesiapa yang ada di situ yang mempunyai telefon bimbit yang paling canggih. Mereka saling berpandangan. Mereka berasa pelik dengan pertanyaan Cikgu Wan itu.

Teks asal:
“ Azzam Cikgu,” jawab Amirul .
“Telefon kamu ada kamera Azzam?” Tanya Cikgu Wan lagi.
“ Ya cikgu , dua belas megapixel! ” Jawab Azzam bangga.

Cadangan jawapan:

Amirul memberitahu Cikgu Din bahawa Azzam yang mempunyai telefon yang canggih. Cikgu Wan inginkan kepastian sama ada telefon Azzam mempunyai kamera atau tidak.
Dengan rasa bangga, Azzam mengeyakannya. Menurut Azzam telefonnya mempunyai dua belas megapixel.

Teks asal:

“Cikgu nak pinjam, nak ambil gambar dengan kamu semua. Hari ini hari terakhir cikgu di sekolah ini.” Jelas Cikgu Wan.
“Cikgu... cikgu kena berhenti mengajar?” Tanya Marina sambil memandang ke arah Cikgu Wan.
Cikgu Wan menggeleng sambil tersenyum.

Cadangan jawapan:

Cikgu Wan menjelaskan/menyatakan bahawa dia ingin meminjam telefon itu kerana dia hendak bergambar dengan mereka. Menurutnya lagi hari itu ialah hari yang terakhir dia di sekolah itu. Sambil memandang Cikgu Wan, Marina ingin tahu sama ada Cikgu Wan diberhentikan mengajar atau tidak. Sambil tersenyum, Cikgu Wan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Teks asal:

“Cikgu tak cakap cikgu kena berhenti mengajar. Cikgu akan terus mengajar, tapi bukan di sekolah ini!” Jelas Cikgu Wan.
Semua terdiam. Sedih. Geram dan kesal. Cikgu Wan meneliti wajah kami semua.

Cadangan jawapan:

Cikgu Wan menyatakan bahawa dia tidak diberhentikan mengajar. Menurutnya lagi dia akan terus mengajar tetapi bukan di sekolah itu. Mereka semua terdiam, sedih, geram dan kesal. Cikgu Wan memandang wajah mereka semua.

Teks asal:

Kemudian dia menambah... “Oh ya, cikgu akan mulakan tuisyen di rumah cikgu. Setiap hari Sabtu, jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Kalau berminat, nanti cikgu berikan alamat!” Jelas Cikgu Wan.

Cadangan jawapan:

Kemudian Cikgu Wan menyatakan bahawa dia akan memulakan tuisyen di rumahnya. Kelas tuisyen itu akan diadakan pada setiap hari Sabtu, pukul 10.00 pagi hingga pukul satu tengah hari. Menurut Cikgu Wan lagi, sekiranya mereka berminat, dia akan memberikan alamat kepada mereka nanti.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...