Thursday, October 9, 2014

PENANDA WACANA DAN KESINAMBUNGAN IDEA DALAM WACANA

menyambung huruf arab
Penanda Wacana
             Penanda wacana terdiri daripada unsur-unsur  bahasa, khususnya aspek leksikal dan ketatabahasaan dan tugasnya  mewujudkan kesinambungan  atau  tautan antara bahagian dalam sesebuah wacana. Dengan kata lain, penanda wacana berfungsi untuk mewujudkan kohesi supaya  wacana itu benar-benar utuh. Mengikut Halliday (1975), penanda  wacana yang dapat mempertautkan unit-unit wacana itu ada empat, iaitu penanda penghubung (conjunction),penanda rujukan, penanda leksikal,dan penanda penghilangan atau pengguguran.

Penanda penghubung
Penanda penghubung dapat dibahagikan kepada lima, iaitu penanda penghubung tambahan, penanda penghubung pertentangan, penanda penghubung musabab,penanda penghubung tempoh dan penanda penghubung kesimpulan.

Penanda penghubung pada umumnya berfungsi memberikan maklumat lanjut tentang perkara yang dinyatakan dalam bahagian ayat atau  ayat  yang sebelumnya dalam sesebuah wacana itu.

Dalam hal ini, walapun pada umumnya dikatakan bahawa wacana ialah  unit penggunaan bahasa yang melebihi batas ayat,  ada ahli bahasa dalam bidang  ini mengatakan bahawa untuk meneliti keutuhan wacana, perlu juga dikaji unsur-unsur yang menghubungkan bahagian-bahagian dalam ayat. Dalam hal ini, bahagian ayat yang dimaksudkan ialah klausa. Dengan kata lain, ayat yang dimaksudkan itu ialah ayat yang mempunyai beberapa klausa yang dihubungkan dengan menggunakan kata hubung. Ini bersesuaian dengan pendapat Richards & Richards (2013: 91), yang mengatakan bahawa ciri kohesi memperlihatkan  “…the grammatical/or lexical relationships between the different elements of a text. This may be the relationship between different sentences or different part of sentence.” Oleh itu, bagi mereka kata hubung seperti kerana, lalu, dan, setelah, ketika, dan lain-lain juga termasuk dalam kategori penanda wacana penghubung kerana kata hubung itu mempertaut bahagian ayat, iaitu klausa-klausa dalam ayat.

Berhubung dengan hal ini,Harimurti Kridalaksana (1978), menganggap wacana sebagai satuan yang lengkap, yang tidak terbatas pada ayat semata-mata,sebaliknya meliputi satuan yang lebih besar, seperti dialog, perenggan, bab, dan sebagainya. Bagi beliau, keutuhan wacana boleh diteliti dari aspek kegramatisan ayat dan hubungan antara ayat. Dalam hal ini, penggunaan kata penghubung adalah amat penting. Menurut beliau lagi, kata penghubung dapat dilihat pada dua peringkat, iaitu penghubung antara bahagian dalam ayat, seperti dan, kerana, atau,  dan lain-lain. Satu lagi ialah penghubung antara ayat, misalnya oleh itu, maka, sekiranya, sungguhpun demikian, tambahan pula, oleh yang demikian, dan sebagainya. Tugas kata-kata tersebut bukan sahaja mempertaut bahagian-bahagian ayat secara gramatikal tetapi juga mewujudkan kesinambungan idea antara bahagian-bahagian wacana.

Seperti telah dinyatakan, yang termasuk dalam jenis penanda wacana penghubung, pertama ialah penanda wacana penghubung tambahan. Penanda wacana ini  merupakan penanda wacana yang berfungsi memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu bahagian ayat ataupun ayat yang hadir sebelumnya. Antara contohnya ialah dan, atau, kerana, tambahan pula, selain itu, oleh itu, oleh hal yang deminian, dan sebagainya.  Contoh penggunaanya:

(a)   Haji Anwar   pemurahdan berbudi pekerti mulia. Selain itu, dia seorang hartawan.

(b)  (penanda wacana penghubung tambahan yang digunakan ialah dan dan selain itu.)

(c)   Dia suka membaca  ketika orang lain tidur. Di samping itu, dia juga suka bersolat pada waktu seperti itu. (Penanda wacana penghubung tambahan yang digunakan ialah ketika dan di samping).

Kedua, penanda penghubung tentangan iaitu penanda penghubung yang digunakan untuk menunjukkan pertentangan maklumat antara ayat yang sebelumnya dengan yang berikutnya, contohnya tetapi, namun begitu, walaupun, walau bagaimanapun, namun begitu,walaupun demikian,  dan sebaliknya. Contohnya :

(a)   Dia selalu kekurangan wang. Walau bagaimanapun, apabila dia ada wang dia akan tetap bersedekah.

(b)  Orang itu amat kaya. Namun begitu, dia agak kedekut.

Ketiga, penanda penghubung musabab, iaitu penanda penghubung yang digunakan untuk menunjukkan musabab atau kesan berlakunya sesuatu yang dinyatakan dalam ayat yang sebelumnya, contohnya kerana, oleh itu, maka, oleh sebab itu, dan oleh yang demikian.

Contohnya :

(a)   Keranaamat ketakutan, dia lari lintang-pukang.

(b)  Kini, kerap berlaku penggodaman wang di bank-bank tempatan . Oleh itu, pihak bankperlu sentiasa berwaspada.

Keempat, penanda penghubung tempoh yang menunjukkan urutan masa atau peristiwa berlakunya sesuatu, contohnya, kemudian, lepas itu, sebelumnya, pertama, dan akhirnya. Contohnya :

(a)   Ahmad  turun dari keretanya. Dia membuka bonet, melihat-lihat  enjin keretanya.Selepas itu, dia menutup bonet keretanya itu semula..

(b)   Beberapa langkah perlu diambil. Mula-mula menyiasat puncanya, kemudian menentukan cara penyelesaiannya Akhir sekali melaksanakannya dengan tegas.

Kelima ialah penanda wacana penghubung kesimpulan. Penanda wacana ini digunakan untuk menyimpulkan atau merumuskan idea yang telah disampaikan. Antara contohnya ialah tegasnya, kesimpulannya, sebagai rumusan, pendek kata, akhirnya, dan jelaslah .

            Contohnya

(i)              Banyak langkah yang perlu kita laksanakan untuk mengatasi masalahnya itu. Antaranya adalah dengan mengenal pasti perkara sebenar yang dihadapinya, latar belakang keluarganya, dan….. Tegasnya, beberapa perkara perlu kita pertimbangkan sebelum  kita membuat keputusan untuk membantunya.

(ii)            Pengiklan menggunakan pelbagai cara untuk melakukan tipu muslihat terhadap pengguna dari segi penjualan barangan. Sebagai contoh, mereka tidak memberikan maklumat sebenar tentang produk, tidak mencatat tempoh luput dengan jelas, dan hanya mendedahkan kebaikan produk tersebut tanpa menyentuh soala kesan negatifnya. Pendek kata, apa-apa sahaja  akan lakukan oleh mereka untuk memikat hati pembeli.

Penanda wacana rujukan pula digunakan untuk merujuk sesuatu perkataan atau frasa yang telah disebutkan sebelumnya dan kata itu terdiri daripada kata ganti nama diri, seperti dia, mereka, -nya, kata ganti nama tunjuk itu, ini, kata ganti nama umum iaitu, yakni dan kata ganti nama tunjuk tempat ke sana, dan  di situ. Contohnya :

(a)   Yang datang itu adik saya.  Dia pelajar tahun kedua UKM.

(Kata ganti nama diri)

(b)  Kakak menyimpan wang di Bank Rakyat. Bank itu bank tempatan.

(Kata ganti nama tunjuk)

Seterusnya ialah penanda wacana leksikal. Penanda wacana ini melibatkan pengulangan perkataan atau frasa, iaitu perkataan atau frasa yang sama, perkataan lain tetapi sama maknanya (sinonim), perkataan yang mempunyai hubungan “hiponim”, dan juga  perkataan atau frasa yang mempunyai hubungan “kolokasi”.

Contohnya : 

Dalam hal ini jika ibu bersetuju. Kami turut bersetuju.

(pengulangan kata yang sama)

Kami berkilah di pantai itu dengan keluarga kami. Mereka juga berkilah di pantai itu dengan keluarga mereka. (pengulangan frasa yang sama).

Dia nampak begitu bersemangat untuk menjawab soalan. Sebenarnya dia

begitu teruja untuk menjawab soalan itu. (pengulangan kata bersinonim).

Gadis itu ayu sekali. Dia secantik ibu kandungnya. (pengulangan

kata bersinonim)

Sawi, kangkung, bayam, lobak dan kobis, semuanya ada di ladangnya itu. Sayur-sayuran  itu dijualnya di pasar berhampiran. (pengulangan hiponim)

Dia menjual almari, meja, katil, tilam, dan kabinet. Perabot jualannya itu berpatutan harganya.(pengulangan hiponim)

Walaupun laut bergelora dengan ombakyang menggunung tingginya, nelayan tetap ke laut untuk mencari rezeki (pengulangan kolokasi, iaitu nelayan dan ombak yang menggunungberkolokasi dengan laut).

Dalam kejohanan badminton itu, pemain lawan menunjukkan kehandalannya. Dia menangkis bola dengan smasy yang tajam. (pengulangan kolokasi)

Penanda elipsis atau penanda pengguguran pula melibatkan pengguguran sesuatu kata atau frasa yang telah disebut sebelumnya.Contohnya:

(a)   Mereka menaiki bas kilang untuk bekerja setiap hari. Kami juga.

                (Yang digugurkan ialah bahagian predikat, iaitu menaiki bas kilang

                   untuk bekerja setiap hari)

                  Abang suka makan sate ayam dan sate daging. Kami tidak.

(Yang digugurkan ialah predikat suka makan sate ayam dan sate daging)

Kesinambungan idea dalam wacana

Menurut Amah Hj Omar !1980), wacana  mempunyai ciri “unsur susun atur” dengan pengertian bahawa unsur-unsurnya  boleh disusun atur berdasarkan waktu, tempat, keutamaan, sebab, akibat, dan sebagainya. Maksudnya ayat-ayat itu mestilah mempunyai urutan yang taut-menaut dari segi idea untuk mewujudkan koheren yang utuh. Contohnya:

Ia rajin makan ubat. Penyakitnya cepat sembuh.

Ayat-ayat di atas memperlihatkan "hubungan sebab dan akibat"dan boleh dianggap sebagai sebuah wacana yang utuh.
Kesinambungan idea antara bahagian wacana dari aspek semantik dapat diperincikan berdasarkan jenis hubungannya.  Antaranya:

(a)   Hubungan sebab dan akibat. Contohnya :

(i)              Dia menyiapkan kerjanya itu sehari suntuk. Dia terlalu penat

lalu tertidur di ruang tamu rumahnya.

                                 (ii) Azami sering tidak datang bekerja.
Dia diberikan amaran oleh ketua jabatannya.

(b)  Hubungan sebab dan hasil. Contohnya:

(i)    Dia merupakan seorang yang peramah dan suka berkawan. Dia disenangi dan mempunyai ramai rakan.

(ii) Dia rajin bertanya tentang bahasa.
Ilmunya tentang soal bahasa amat banyak.

(c)   Hubungan sebab dan tujuan. Contohnya :

(i)              Pelajar itu sudah mula menabung. Dia tidak mahu meminjam wang apabila melanjutkan pengajiannya nanti.

(ii)       Karim ke Mekah. Dia mahu menunaikan ibadah umrah.

(d)  Hubungan latar dan kesimpulanContohnya:

(i)              Puisi ini bahasanya sungguh indah.
             Rupa-rupanya karya Usman Awang.

(ii)       Rumah di atas bukit itu cukup cantik.
       Apa tidaknya, rumah seorang arkitek ternama.
(e)   Hubungan syarat dan hasil. Contohnya:

(i)              Kita mesti membantunya dengan ikhlas.
Keikhlasan kita besar baraqahnya di sisi Allah.
(ii) Kita perlu bersenam untuk menyegarkan tubuh badan.

         Aktiviti itu dapat  mengekalkan kesihatan kita.

(f)   Hubungan perbandingan. Contohnya:

(i)              Dia cantik. Kakaknya lagi cantik.

(ii) Dia baik sekali. Rakan karibnya itu tidak sebaik dia.

(g)  Hubungan memperkuat isi. Contohnya:

(i)           Sungguh kejam penjenayah itu.

Sudahlah dibunuhnya wanita itu, dipotong-potongnya,

kemudian dibakarnya pula.

(ii)  Jambangan bunga itu cantik sekali.
Bunganya berwarna-warni dan dedaunnya segar.
(h)  Hubungan aditif. Contohnya:

i)                Pekerjaannya memerlukan kekuatan fizikal. Dia perlu mengangkut

pasir dan batu bata sepanjang hari.

(ii)  Kakinya sakit tertusuk paku. Paku itu kecil tetapiberkarat.

 
Rujukan

Asmah Hj Omar, “Analisis Wacana”, Dewan Bahasa, Mac dan April, 1980, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 1980.

Halliday, Michael A.K. Learning how to mean: exploration in the development of language, London, 1975.

Harimurti Kridalaksana, “Keutuhan Wacana”, Dewan Bahasa Julai, 1978, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 1978.

J. C. Richards & Richard Schmidt, Dictionary of Language Teaching dan Applied Linguistics, Fourth Ed., Pearson Education Ltd, Great Britain, 2013.

 

OLEH:

RAMINAH HAJI SABRAN / DU / OKTOBER 2014©

 

 

 

Monday, August 4, 2014

8 CARA BELAJAR YANG BAIK.


Belajar merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh para pelajar . Belajar pada umumnya dilakukan di sekolah ketika pengajaran dan pempelajaran berlangsung dan dibimbing oleh guru. Belajar yang baik juga boleh dilakukan di rumah sama ada dengan ataupun tanpa kerja rumah. Belajar yang dilakukan secara terburu-buru akibat dikejar-kejar waktu memiliki kesan yang tidak baik.

Berikut ini adalah tips dan triks yang dapat menjadi masukan berharga dalam mempersiap siagakan diri dalam menghadapi ujian ataupun peperiksaan :

1. Belajar Berkelompok

 Belajar kelompok dapat menjadi kegiatan belajar menjadi lebih menyenangkan kerana kita ditemani oleh rakan dan berada di rumah sendiri sehingga dapat lebih santai dan selesa. Namun sebaiknya tetap didampingi oleh orang dewasa seperti kakak, atau orang tua agar belajar tidak berubah menjadi bermain. Belajar kelompok ada baiknya kita mengajak kawan yang pandai dan rajin belajar agar yang tidak pandai jadi menjadi pandai. Dalam belajar kelompok kegiatannya adalah membahas pelajaran yang belum difahami oleh semua atau sebahagian kelompok belajar baik yang sudah dijelaskan guru maupun belum dijelaskan guru.

2. Rajin Membuat Catatan Intisari Pelajaran

Bahagian-bahagian penting dari pelajaran sebaiknya dibuat catatan di kertas atau buku kecil yang dapat dibawa ke mana-mana sehingga dapat dibaca di mana pun kita berada. Namun catatan tersebut jangan dijadikan alat  untuk kita meniru dalam peperiksaan kerana dapat merugikan kita sendiri.

3. Membuat Perancangan Yang Baik

Untuk mencapai suatu tujuan biasanya diiringi oleh perancangan yang baik. Oleh kerana itu ada baiknya kita membuat rancangan belajar dan rancangan pencapaian nilai untuk mengetahui apakah kegiatan belajar yang kita lakukan telah maksima atau perlu ditingkatkan. Sesuaikan target pencapaian dengan kemampuan yang kita miliki. Jangan mentargetkan yang  sesuatu yang terlalu tinggi, contohnya pointer 4.0  jika pada waktu ini kita masih di luar pointer 1.0 . Buat rancangan belajar yang diutamakan pada mata pelajaran yang lemah. Buatlah jadual belajar yang baik.

4. Disiplin Dalam Belajar

Apabila kita telah membuat jadual belajar , maka harus kita ikuti dengan baik. Contohnya seperti belajar tepat waktu dan serius tidak sambil main-main dengan konsentrasi penuh. Jika waktu makan, mandi, ibadah, dan sebagainya telah tiba maka jangan ditunda-tunda lagi. Teruskan aktiviti belajar setelah melakukan kegiatan tersebut jika waktu belajar belum selesai. Bermain dengan teman atau game dapat merusak konsentrasi belajar. Sebaiknya kegiatan bermain juga dijadualkan dengan waktu yang cukup panjang namun tidak melelahkan jika dilakukan sebelum waktu belajar. Jika bermain video game sebaiknya pilih game yang mendidik dan tidak menimbulkan rasa penasaran yang tinggi ataupun rasa kekesalan yang tinggi jika kalah.

5. Menjadi Aktif Bertanya dan Ditanya

Jika ada hal yang belum jelas, maka tanyakan kepada guru, teman atau orang tua. Jika kita bertanya biasanya kita akan ingat jawabannya. Jika bertanya, bertanyalah secukupnya dan jangan bersifat menguji orang yang kita tanya. Tawarkanlah pada teman untuk bertanya kepada kita hal-hal yang belum dia pahami. Semakin banyak ditanya maka kita dapat semakin ingat dengan jawaban dan apabila kita juga tidak tahu jawaban yang benar, maka kita dapat membahasnya bersama-sama dengan teman.

6. Belajar Dengan Serius dan Tekun

Ketika belajar di kelas dengar dan catat apa yang guru jelaskan. Catat yang penting kerana mungkin saja hal tersebut tidak ada dalam buku dan nanti akan keluar apabila ada peperiksaan atau ujian. Ketika waktu luang, baca kembali catatan yang telah dibuat tadi dan hafalkan sambil dimengerti. Jika kita sudah merasa mantap dengan suatu pelajaran maka ujilah diri sendiri dengan menjawab soalan-soalan yang terdapat dalam buku latihan. Setelah selesai , periksa jawaban berpandukan cadangan jawaban. Pelajari semula soalan-soalan yang salah dijawab.

7. Hindari Belajar Berlebihan

Jika waktu peperiksaan atau ujian sudah dekat biasanya kita akan panik jika belum kita belum bersedia. Jalan pintas yang sering dilakukan oleh pelajar yang belum bersedia adalah dengan belajar hingga larut malam atau membuat nota kecil untuk mudah meniru waktu peperiksaan atau ujian berlangsung. Sebaiknya ketika  tidur tepat waktu kerana jika berjaga semalaman akan membawa dampak yang buruk bagi kesihatan diri kita sendiri.

8. Jujur Dalam Peperiksaan Atau Ujian

Hindari sikap ingin meniru ketika sedang peperiksaan atau ujian sedang berlangsung. Meniru dapat membuat sifat kita curang dan pembohong. Kebohongan bagaimanapun juga tidak dapat ditutup terus-menerus dan cenderung untuk melakukan kebohongan selanjutnya untuk menutup kebohongan selanjutnya. Anggaplah dengan amalan meniru dalam peperiksaan atau ujian pasti akan terbongkar. Dan di saat itu guru atau pengawas peperiksaan akan mengambil tindakan dan anda akan merasa kerugian yang tidak terjangka akibat kecurangan sendiri.

Wednesday, July 9, 2014

PENULISAN ESEI PENGGAL I


                                                
Dalam peperiksaan STPM Baharu, penggal I, Penulisan esei tidak berformat merupakan soalan wajid dalam kertas 910/1 bahagian C.  Calon dikehendaki memilih satu tajuk dan menulis sebuah karangan  tidak berformat tersebut. Sebanyak 50 markah diperuntukan untuk bahagian ini. Panjang karangan  antara 600  hingga 650 patah perkataan sahaja. 

Soalan-soalan yang dikemukakan meliputi bidang seperti berikut  iaitu;

·          Sukan
·          Ekonomi
·          Kesihatan
·          Pendidikan
·          Alam sekitar
·          Kemasyarakatan
·          Hal ehwal wanita
·          Sains dan teknologi
·          Seni dan kebudayaan
·          Isu kanak-kanak dan remaja
·          Isu keselamatan antara bangsa

Tajuk-tajuk yang dikemukakan adalah berkaitan dengan isu-isu lampau atau berdasarkan isu-isu semasa dan terkini yang hangat.

Tujuan penulisan karangan  dikemukakan bertujuan untuk menguji dan menilai kemampuan calon dalam perkara-perkara berikut;

·          Mengemukakan isi-isi yang releven bagi tiap-tiap soalan karangan.
·          Menghuraikan dan merumus hujah-hujah dengan matang, lancar, dan berkesan.
·          menyusun isi mengikut urutan yang sesuai
·          menyampaikan isi dalam bentuk wacana yang utuh.
·          menggunakan bahasa yang betul, persis, dan lancar.

Fokus utama pengujian  adalah untuk mengetahui kemampuan calon berdasarkan  perkara seperti berikut;

Fakta: Kemampuan calon memilih dan mengemukakan sesuatu fakta dari segi kejituan , kematangan, keintelektualan, dan kewajaran.

Gaya dan laras: Kematangan calon menggunakan ragam bahasa, retorik, kekayaan pemilihan diksi, wacana, kesantunan, istilah, dan peribahasa.

Pengolahan: Kebolehan calon menyusun dan menyampaikan  idea dalam bentuk yang bernas dan rapi.
  

Tatabahasa :Kemahiran penggunaan struktur bahasa, ejaan, tanda baca, perenggan, format, kerapian penggunaan bahasa, dan kelancaran bahasa serta aspek meknisme yang tertib.


Karangan calon dinilai berdasarkan aspek-aspek berikut:

·          Kerelevanan       (R)
·          Pengolahan        (P)
·          Bahasa                 (B)

A.Kerelevanan (R) :  Aspek kerelevanan ini diukur berdasarkan;

i.      Kandungan karangan

·    Pendahuluan
·    Isi sokongan
·    Kesimpulan (penutup)

ii.     Pendekatan karangan

·          Karangan tidak berformat

B.        Pengolahan (P)  :   Aspek pengolahan dinilai dari segi;

1.         Kesepaduan karangan

·          Jalinan isi dengan isi
·          Jalinan isi dengan huraian
·          Jalinan perenggan dengan perenggan
·          Jalinan ayat dengan ayat

2.        Binaaan karangan

·          Pendahuluan
·          Isi sokongan
·          Kesimpulan

C.              Bahasa  (B) : Aspek bahasa dinilai dari segi ;

1.         Diksi (pemilihan kata)

·          Kata umum
·          Istilah
·          Peribahasa

2.      Tatabahasa:

Sintaksis
·          Frasa
·          Ayat

Morfologi
·          Imbuhan
·          Kata ganda
·          Kata majmuk

Aspek Meknisme
·          Ejaan
·          Tanda baca
·          Bentuk tulisan

BENTUK SOALAN

 Karangan bentuk perbincangan

Bentuk soalan berdasarkan kata kunci “Bincangkan” dalam penyataan soalan.
Terdapat dua bentuk perbincangan.
  
1.    Perbincangan yang hanya menumpukan satu sudut sahaja, sama ada sudut pro atau kontra.

2.  Perbincangan yang menumpukan pelbagai sudut perbincangan seperti aspek baik dan buruk  pro dan kontra atau menyangkal atau menerima sesuatu isu.

Karangan hendaklah berdasarkan perbincangan yang rasional, logik, dan munasabah. Isi yang dikemukakan mestilah menyatakan kebenaran serta disokong dengan contoh, alasan, dan bukti yang tepat dan jelas. Elak supaya karangan yang dihasilkan tidak berbentuk perbahasan.

Penelitian dan pemahaman yang mendalam perlu dilakukan semasa membaca penyataan tajuk soalan perbincangan supaya kehendak sebenar tajuk dapat dikenalpasti.

Karangan bentuk huraian.

Karangan jenis ini menggunakan kata kunci “Huraikan atau jelaskan, terangkan, takrifkan apa yang anda fahami” Karangan ini memerlukan calon  memberi penjelasan atau huraian terhadap sesuatu yang belum jelas atau lengkap kepada pembaca. Oleh hal yang demikian, pemahaman dan pengetahuan calon tentang sesuatu isu yang hendak dijelaskan mestilah mendalam supaya ia dapat dihuraikan dengan mudah dan jelas.Tujuan karangan berbentuk huraian untuk menguji keluasan pengetahuan, kefahaman, dan maklumat yang ada pada calon terhadap sesuatu isu, hal, masalah, kes, situasi, dan gejala yang timbul.

Karangan berbentuk hujahan.

Karangan jenis ini biasanya menggunakan kata kunci “Bahaskan dan kemukakan pandangan anda”. Karangan ini menghendaki calon menyatakan pendapat atau pandangan yang memihak kepada satu pihak sahaja. Ia bertujuan mempengaruhi pendapat, pandangan, dan kesahihan isu yang dibahaskan, sama ada pro atau kontra, menyokong atau membangkang sesuatu pendirian yang dikemukakan itu hendaklah disertai dengan hujah,bukti, alasan, dan contoh yang logik, dan berasas.

Pada bahagian akhir/penutup karangan , calon perlu menegaskan atau mengulangi pendirian yang telah dinyatakan dalam bahagian awal karangan. Hal ini demikian kerena, bertujuan menyatakan pendirian calon dalam menjawab tajuk yang dikemukakkan.

Karangan  bentuk komentar dan kritikan.

Karangan jenis ini menggunakan kata kunci “Kemukakan pandangan anda, beri pendapat anda, bersetujukah anda dengan, ulaskan penyataan tersebut”. Karangan jenis ini menghendaki calon memberi pendapat, ulasan,pandangan,komentar, atau penilaian sendiri terhadap sesuatu isu yang dikemukakan.Ulasan atau komentar mestilah bersifat objektif dan dapat dilihat kebenarannya dan tidak berdasarkan andaian atau prasangka. Penilaian, kritikan atau komentar mestilah disertakan dengan alasan, bukti, dan contoh yang kukuh dan dapat diterima umum.

Karangan bentuk pendapat

Karangan ini hampir sama dengan karangan jenis perbincangan. Namun, karangan jenis ini memerlukan calon memberi pendapat sendiri atau pendapat orang lain tentang sesuatu isu, kes, atau gejala yang tertentu. Pendapat yang dikemukakan perlu berupa contoh, bukti, atau alasan yang kukuh dan logik.

Pada bahagian penutup calon perlu menyataklan pendirian masing-masing terhadap tajuk karangan tersebut

Karangan  bentuk pemerian.

Umumnya karangan bentuk pemerian mempunyai persamaan dengan karangan bentuk huraian. Karangan jenis ini lebih bersifat khusus iaitu memerihalkan sesuatu isu dengan jelas berasaskan fakta yang tepat, objektif, dan kemas. Kebiasaanya karangan bentuk ini terdapat dalam soalan karangan berformat seperti ceramah atau teks ucapan.


 
 


Tuesday, July 8, 2014

PENGGUNAAN LARAS AGAMA DALAM BUKU TEKS PENDIDIKAN ISLAM TINGKATAN SATU.



1.0  Pengenalan: (contoh)

1.1  Latar belakang:

Bahasa merupakan elemen utama untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Ini menunjukkan bahawa tanpa bahasa, manusia tidak boleh untuk berinteraksi dan juga membentuk budaya yang mempunyai identiti sendiri. Oleh yang demikian bahasa diperlukan bagi membentuk identiti seterusnya menjadi satu unit masyarakat yang mempunyai bahasa dimana dengan bahasa ini akan terbentuk bangsa, masyarakat dan negara.

Bahasa ialah suatu sistem lambang bunyi suara yang arbitrari yang digunakan oleh anggota sesuatu kelompok manusia untuk berhubungan. Bunyi suara ini disebut bunyi bahasa. Bunyi- bunyi bahasa dilahirkan manusia dengan alat-alat pertuturannya dan digabungkan untuk membentuk kata (J. Nulawadin Mustafagani, 1991:1).

1.2  Definisi konsep:

Laras bahasa boleh diertikan sebagai gaya atau cara menggunakan sesuatu bahasa dalam suatu situasi. Laras akan sentiasa berubah berdasarkan fungsi dan keadaan. Disamping itu, setiap laras menitikberatkan pemilihan kata atau istilah dan menggunakan struktur ayat yang berlainan mengikut disiplin atau bidang tertentu.

Laras bahasa juga boleh ditakrifkan sebagai ciri-ciri khusus penggunaan bahasa mengikut bidang sesuatu wacana yang digunakan. Contohnya laras bahasa doa, khutbah dan upacara. Laras dipengaruhi oleh latar, penutur, peserta dan tujuan. Laras juga dipengaruhi oleh tatabahasa. Contohnya Ayat aktif dan ayat pasif, ayat bias dan ayat songsang, dan panjang pendek ayat akan menghasilkan laras yang berbeza. Terdapat tokoh yang membahagikan laras kepada beberapa bahagian lagi. Misalnya Halliday melihat laras daripada tiga dimensi, iaitu tajuk wacana, cara penyampaian, dan gaya penyampaian (www.tutor.com.my).

2.0  Objektif kajian:  (contoh)

Objektif kajian ini adalah sperti berikut :

a. Mengenal pasti dan menyenaraikan kosa kata pinjaman bahasa Arab dalam laras agama

b. Mengesan dan memperlihatkan wujudnya unsur-unsur nasihat dan pemujukan dalam laras agama

3.0  Kepentingan kajian: (contoh)

Hasil kajian ini adalah untuk...

1. menambah bahan dokumentasi yang telah sedia ada dalam perpustakaan tingkatan enam

2. dijadikan panduan sebagai bahan rujukan dalam membantu menjalankan kajian yang lain, khususnya kajian yang berkaitan dengan laras bahasa agama.


4.0  Skop kajian : (contoh)

Laras bahasa agama yang dijadikan fokus dalam kajian ini ialah laras agama Islam yang terdapat dalam buku teks Pendidikan Islam Tingkatan 1.

 5.0  Batas kajian: (contoh)

Batas kajian ini hanya tertumpu pada aspek laras bahasa agama yang terdapat dalam bahagian atau bab Tayammum. Oleh hal demikian, laras bahasa agama yang dikaji dalam kajian ini tidak boleh digunakan untuk menggambarkan keseluruhan aspek laras bahasa agama yang terdapat dalam buku teks Pendidikan Islam Tingkatan I tersebut.

6.0 Kaedah kajian: (contoh)

Bahagian ini akan menghuraikan  kaedah kajian.

6.1 Mendapatkan bahan data:

6.1.1. Kajian perpustakaan: (contoh)

Kajian perpustakaan ialah..............

6.1.2. Kajian teks : (contoh)

Buku yang dikaji dalam kajian ini ialah buku teks Pendidikan Islam Tingkatan I, bab Tayammum. Bab Tayammum ini digunakan untuk mengkaji laras bahasa agama yang menggunakan kosa kata pinjaman bahasa arab dan unsur-unsur nasihat serta pemujukan.

6.1.3. Menyenaraikan data: (contoh)

Data dalam kajian ini ialah pelbagai jenis petikan dan contoh daripada buku tersebut yang dapat memberi gambaran tentang laras bahasa agama yang digunakan. Data ini diperolehi melalui pembacaan yang dilakukan secara berulang kali terhadap bab tayammum tersebut.

6.1.4. Menganalisis data: (contoh)

Analisis kajian ini dibuat dengan cara menyenaraikan data-data yang diperolehi dalam bentuk jadual dan diberikan maksubnya dalam bahasa melayu. Selain itu, mengumpul dan mengelompokkan unsur-unsur nasihat dan pemujukan yang diperolehi. Semua hasil kajian ini akan dibincangkan dalam dapatan kajian nanti.

7.0 Dapatan kajian: (contoh)

Bahagian ini akan menghuraikan dapatan kajian dengan menunjukkan senarai kosa kata pinjaman bahasa arab dan unsur-unsur nasihat dan pemujukan.

7.1. Senarai kosa kata pinjaman bahasa arab

Bahasa yang digunakan dalam artikel ini boleh diklasifikasikan sebagai Laras Bahasa Agama. Ini kerana bahasa yang digunakan dalam tajuk ini mengandungi istilah-istilah agama dan bahasa Arab. Dalam hal ini boleh dilihat menerusi pentakrifan Tayammum itu sendiri, dimana ianya datang dari bahasa arab. Perkataan Tayammum itu sendiri adalah berasal dari bahasa arab. Jadi dapat disimpulkan bahawa bahasa yang digunakan adalah cenderung kepada nilai keagamaan.

Selain dari itu, struktur ayat dalam artikel ini banyak diselitkan dengan petikan daripada ayat al-Quran dan Hadis. Jadi secara tidak langsung ianya mempengaruhi banyak bahasa arab digunakan dalam bahasa melayu. Contohnya perkataan “rukhsah”, dimana maksudnya jika diterjemah dalam bahasa melayu ia membawa makna keringanan atau kemudahan.

(BUAT JADUAL UNTUK MENYATAKAN SENARAI KOSA KATA PINJAMAN BAHASA ARAB)

7.2. Unsur-unsur nasihat (contoh)

Sekiranya ditinjau dengan sudut yang lebih jauh, laras bahasa yang digunakan dalam tajuk Tayammum ini, ia juga mirip kepada laras bahasa biasa dan laras bahasa Akademik. Ini adalah disebabkan penggunaan bahasa yang agak mudah difahami oleh orang biasa. Namun begitu ia juga boleh digolongkan sebagai laras bahasa Akademik, ini dapat dibuktikan melalui perkataan atau istilah yang berkemungkinan orang biasa tidak memahaminya. Contoh perkataan tersebut ialah rukhsah dan debu yang suci. Kedua-dua perkataan ini memerlukan pentakrifan atau huraian untuk memahaminya.

Dari sudut lain pula, ayat yang digunakan dalam tajuk pendidikan Islam ini menggunakan ragam bahasa berulang. Ragam bahasa berulang bermaksud perulangan sesuatu patah perkataan, frasa malahan ayat keseluruhannya. Tujuan penulis melakukan perulangan adalah hendak memperkukuhkan maksud yang hendak disampaikan dalam penulisan berkenaan (Hj Alias Hj Zaidi, 1992: 58). Pengulangan perkataan boleh dilihat melalui:

Tayammum ialah menyapu debu tanah ke muka dan kedua-dua belah tangan hingga ke siku dengan syarat-syarat tertentu dengan niat. Tayammum ialah ganti wudu’ atau mandi disebabkan keuczuran. Tayammum merupakan rukhsah untuk icbadah. Hukum Tayammum adalah wajib bagi orang yang tidak boleh menggunakan air atau ketiadaan air untuk bersolat dan tawaf.

(Nyatakan, boleh juga buat dalam bentuk jadual.)

7.3. Unsur-unsur pemujukan (nyatakan sama seperti di atas)

8.0 Rumusan kajian : (contoh)

-(pelajar mesti merumus fakta daripada dapatan kajian. Rumusan bukan penutup atau kesimpulan)

Berdasarkan kajian yang dibuat, didapati bahawa laras bahasa arab yang digunakan dalam.........mempunyai banyak kosa kata yang dipijam daipada bahasa arab. Hal ini demikian dapat dilihat kutipan jadual...Berdasarkan jumlah kosa kata  pinjaman bahasa arab tersebut dapatlah dipastikan tentang ciri-ciri laras agama. Hal-hal lain seperti unsur nasihat dan pemujukan...........Kewujudan kosa kata pinjaman bahasa arab, unsur-unsur nasihat dan unsur pemujukan secara tidak langsung menunjukkan kelainan yang ketara antara laras-laras bahasa yang terdapat dalam bahasa melayu.

9.0 Penutup (contoh)
   
 Laras bahasa agama ini merupakan suatu kelainan bahasa yang menyebabkan identiti penutur dan pemirsa dapat dikenal pasti dalam situasi tertentu. Hal ini demikian menunjukkan keunikan penggunaan bahasa yang digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai jenis kepercayaan atau agama. Sejujurnya, laras bahasa adalah sangat penting dalam mewarnai kehidupan seharian masyarakat. Semakin banyak penggunaan sesuatu laras bahasa dapat dijadikan barometer kepada kekuatan dan kemajuan sesuatu bangsa atau agama..........  

* Semua yang tercatat di sini hanyalah contoh sahaja, bukan sebuah kajian yang sebenar. JIKA ADA SEBARANG KEKURANGAN, SILA PERBAIKI. TERIMA KASIH.)

Sunday, May 25, 2014

SOALAN PENULISAN ESEI UNTUK SEMESTER I


Tulis sebuah karangan yang panjangnya antara 600 hingga 650 patah perkataan berdasarkan tajuk-tajuk di bawah.

1. Masalah penyeludupan barangan merupakan suatu masalah yang menggusarkan banyak pihak terutama kerajaan. Usaha yang bersungguh-sungguh telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah tersebut kerana kerajaan sedar bahawa sekiranya masalah ini berleluasa, kesan negatif akan timbul. Pada pendapat anda, apakah kesan negatif yang dimaksudkan itu ? Bincangkan.

2. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana walaupun penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, tetapi mereka dapat hidup aman dan harmoni berbanding dengan penduduk di negara majmuk yang lain. Pada pendapat anda, apakah faktor yang dapat mewujudkan keadaan sedemikian ?
Jelaskan.

3. Pelbagai media utama di negara ini sering melaungkan slogan agar diwujudkan masyarakat penyayang di negara kita. Bermacam jenis usaha telah dilancarkan oleh kerajaan untuk merealisasikan tujuan itu dan sambutan orang ramai agak menggalakkan. Jelaskan kepentingan mewujudkan masyarakay penyayang dan halangan yang mungkin dihadapi untuk merealisasikannya.
Kemukakan juga langkah yang sesuai untuk mewujudkan masyarakay yang dicita-citakan itu.

4. Pada hakikatnya, negara kita masih menghadapi masalah bekalan air yang mencukupi, terutamanya pada musim kemarau. Kita menghadapi masalah catuan air pada waktu tertentu, malah kadang-kadang berhadapan dengan masalah keputusan bekalan air tanpa sebarang peringatan. Berikan pendapat anda tentang punca berlakunya keadaan ini dan cadangkan langkah yang berkesan untuk menanganinya.

5. Umumnya, peniaga menggunakan pelbagai cara dan muslihat untuk melariskan barangan mereka, contohnya melalui iklan yang begitu menarik dan mempersonakan. Pengguna sering tertipu dengan taktik merekay nag begitu halus tetapi berkesan. Dalam jangka panjang hal ini akan membawa kesan buruk kepada pengguna. Kemukakan cara bagi menggelakkan pengguna daripada tertipu oleh muslihat peniaga sedemikian.

6. Pada masa ini, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia mengalami pertumbuhan pesat. Hal ini demikian, selaras dengan dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hub Kecemerlangan Ilmu di rantau ini. Berikan pendapat anda tentang kebaikan dan keburukan pertumbuhan tersebut.

7. Masalah kualiti udara yang merosot di negara kita pada masa ini semakin membimbangkan. Kesihatan orang akan terjejas sekiranya masalah ini berterusan. Nyatakan pendapat anda tentang faktor yang menyebabkan masalah tersebut dan kemukakan cadangan untuk mengatasinya.

8. Kes keganasan dan penderaan rumah tangga di negara kita kini kian menjadi-jadi. Keganasan dan penderaan yang dimaksudkan bukan sahaja telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa, malah dalam sesetengah kes yang serius telah menyebabkan kematian. Bincangkan sebab berlakunya kejadian tersebut dan kesan yang timbul daripadanya.

9."Pencapaian negara dalam bidang sukan kini dikatakan tidak begitu memuaskan dan masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkannya." Bersetujukah anda dengan pernyataan ini ? Berikan ulasan dan kemukakan juga langkah yang anda fikir perlu diambil untuk memperbaiki prstasi sukan negara.

10. Pada masa ini, bentuk pelancongan baru, iait agro dan ekopelancongan semakin diminati ramai di negara ini. Pelancongan yang dimaksudkan itu lebih bersifat mesra alam dan dikaitkan dengan sesuatu aspek atau kegiatan pertanian di kawasan yang menjadi destinasi pelancongan itu. Berikan ulasan anda tentang kecenderungan tersebut.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...